Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang
bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini
dibina. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi
yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat
batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan
belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?
Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah
menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah
menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut,
disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah
liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan
dengan batu asalnya.
Al-Quran Telah Mempunyai Jawapan
Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah
mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan.
Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ
فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ
“Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku
tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH
LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik
melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari
orang-orang pendusta.”
(Al-Qasas: 38)
Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di
dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu.
Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi
nombor di batu yang mereka tinggalkan.
Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum
menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis
batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara
manual hasil dari olahan tanah liat.
Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah
“Journal of the American Ceramic Society” menegaskan bahawa Firaun menggunakan
tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana
tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram.
Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi.
Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur
yang dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga
terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam
tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun
mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang
sudah disediakan di dinding piramid. Gambar – Gilles Hug (duduk kiri)
dan Dr. Michel Barsoum (berdiri)
Profesor Davidovits
Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu
piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop
elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu
itu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron,
ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan
manusia.
Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier,
telah bertahun-tahun mencari jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak
piramid. Guy Demortier berkata, “Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan
dan kajian, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir
diperbuat dengan menggunakan tanah liat.”
Piramid Bosnia
Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini
adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian
yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, “Piramid Matahari” dan menjelaskan
bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa
kaedah ini tersebar luas di masa lalu.
Gambar di atas menunjukkan kaedah tuangan batu
berasal dari tanah liat telah dikenali sejak ribuan tahun yang lalu dalam
tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun.
Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita
semua bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang
yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, juga dibina dari tanah liat.
Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan
para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis.
Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pernah pergi ke
Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar
tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun
yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang
mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa
Firaun menggunakan tanah liat yang dipanaskan untuk membina monumen tinggi
kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.
Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw,
beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun
membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan tanah liat.
Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk
membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya
melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan Firaun dan
menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia pula yang
memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini
menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.
Sumber : http://hasnulhadiahmad.com









